Selepas Keluar Big Stage 2020, Ini Yang Berlaku Kepada Azzam Sham, Usop & Qody Rany

Pemenang Big Stage 2020 (BS2020) Azzam Sham, Usop dan Qody Rany kini bergelar pelakon apabila bakal muncul dalam sebuah telefilem komedi seram berjudul Mat1la Nak Pontianak.

Menurut pemenang tempat ketiga BS2020 Qody Rany, menerima tawaran berlakon merupakan satu bonus baginya selepas keluar daripada pertandingan nyanyian tersebut.

“Masa dalam Big Stage lagi saya ada menyuarakan hasrat nak berlakon. Mungkin dari situ ada pengarah yang nampak kami semua ada potensi.

“Lagipun chemistry, kelakuan dan pergaulan kami di Big Stage juga boleh dianggap sebagai kelebihan sehingga membuatkan kami dapat tawaran ini,” kata Qody ketika dihubungi Gempak.

Dapat berlakon bersama Azzam dan Usop yang dikenalinya sejak minggu pertama BS2020 cukup memberikan pengalaman yang menyeronokkan.

“Saya tak boleh tahan berlakon dengan diorang ni. Saya tahu Azzam ni macam mana dan Usop pula macam mana tapi bila tengok mereka berlakon mengikut karakter yang diberikan, ada part yang saya tak tahan, memang saya ketawa besar,” katanya.

Tambah Qody lagi, penghayatan semasa membuat persembahan sedikit sebanyak membuatkan dia boleh berlakon.

“Apa yang saya tonjolkan dalam telefilem ini, saya perolehi melalui pengalaman nyanyian terutamanya dalam pembikinan video muzik. Cumanya berlakon ni kita jadi karakter orang lain tali bila menyanyi, kita jadi diri kita.

“Apa yang saya, Azzam dan Usop harapkan juga dengan telefilem ni dapat membuka mata orang ramai yang kami bukan sahaja boleh menyanyi tetapi ada bakat berlakon,” luahnya lagi.

Telefilem arahan Azhari Zain ini mengisahkan tiga orang lelaki yang berlainan gaya hidup bertemu dengan seorang bomoh untuk menyelesaikan masalah mereka. Dari situ, mereka bertemu dengan seorang perempuan cantik yang sebenarnya merupakan seekor pontianak.

Telefilem Mat1la Nak Pontianak akan disiarkan pada 5 Disember ini di saluran Astro Citra (108).

Sumber: Gempak

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*