Susulan daripada syarikat penerbangan di seluruh dunia mengurangkan pekerja akibat pandemik COVID-19, Malindo Airways Sdn Bhd juga tidak terkecuali dalam mengambil langkah tersebut.
Menurut laporan BERNAMA pada 13 Oktober 2020, syarikat penerbangan perkhidmatan penuh hibrida itu dijangka akan memberhentikan sekitar 2,200 kakitangan atau lebih separuh daripada 3,200 tenaga kerjanya.
Syarikat penerbangan itu juga kemungkinan akan mengurangkan jumlah pesawatnya kepada lima pesawat Boeing 737 dan enam turboprop ATR.
“Proses pemberhentian kerja melibatkan kakitangan yang terlibat dijangka selesai pada 30 November depan manakala kakitangan yang tidak terjejas diperlukan melakukan tugasan yang pelbagai,” kata sebuah kenyataan yang dilaporkan.
Pada 9 Oktober lepas, syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia Bhd dan AirAsia X Bhd mengesahkan pemberhentian sebanyak 10 peratus daripada 24,000 kakitangan mereka untuk kelangsungan dalam industri penerbangan yang terjejas teruk kerana kr1sis COVID-19.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (CEO) AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, langkah pemberhentian kerja itu harus dilakukan memandangkan realiti sektor penerbangan yang menghadapi kesukaran untuk pulih dalam masa terdekat.
Pada hari yang sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines Bhd (MAS), Kapten Izham Ismail dilaporkan berkata, syarikat penerbangan premium itu akan memotong gaji pengurusan kanannya sebanyak 10 peratus mulai bulan ini.
Sementara itu syarikat penerbangan antarabangsa pula, Emirates telah merancang untuk mengurangkan tenaga kerja mereka sebanyak 15 peratus pada Julai lalu.
Mengikut langkah sama adalah Qatar Airways yang telah menghentikan kakitangan mereka sebanyak 15 peratus dari jumlah asal sebelum pandemik COVID-19.
Sumber : BERNAMA
Kredit Foto: Aviation Tribune
Leave a Reply Cancel reply