Terbukti Berkesan, Insentif Kerajaan Manfaatkan Rakyat

Nuraisyah Mohd Radzi sedang menantikan kerjaya dalam rekaan grafik ketika terbabit dalam kema1angan jalan raya, sehingga dia ter1antar di hospital selama tujuh bulan.

Motosikal yang ditunggangnya bertembvng dengan sebuah kereta, dan susulan kejadian itu menyebabkan dia kehilangan sebahagian kaki kirinya.

Nuraisyah kini menggunakan tongkat dan merupakan pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU).

Gadis berusia 23 tahun yang memperoleh diploma dalam rekaan grafik dari Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) Batu Pahat di Johor itu perlu melunaskan pinjaman pengajiannya sebanyak RM36,000, dan sementara mendapat pekerjaan tetap, dia menjual ais krim dari rumah ibu bapanya di Alor Gajah, Melaka.

Pada 18 Ogos tahun ini, dia menghadiri Karnival PenjanaKerjaya Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di Melaka, di mana dia mengetahui mengenai portal MYFutureJobs dan memohon pekerjaan.

“Saya mendapat pekerjaan serta-merta,” kata Nuraisyah yang memperoleh kerja sebagai kerani di pasar raya Econsave di Sungai Udang, Melaka, dengan gaji bulanan sebanyak RM1,200.

“Saya bersyukur mendapat pekerjaan ini, saya mahu melunaskan pinjaman pengajian,” ujar anak keempat daripada lapan beradik itu, sambil menambah bapanya merupakan pekerja kilang, manakala ibunya adalah suri rumah.

Nuraisyah mendapat pekerjaan serta-merta menerusi platform padanan MYFutureJobs Perkeso.

Pengurus Econsave Cash and Carry Sdn Bhd, Wee Chu Mei memberitahu, Nuraisyah adalah antara tujuh OKU diambil bekerja oleh syarikat itu.

“Kita mahu membantu mereka yang mengalami kesulitan mencari pekerjaan. Tujuh OKU ini bekerja sebagai pembantu jualan dan kerani di Econsave Sungai Udang, Batu Berendam (Melaka) dan Bahau (Negeri Sembilan),” katanya.

Wee berkata, syarikatnya menerima bantuan kerajaan sebanyak RM1,000 untuk setiap pekerja OKU selama enam bulan di bawah program Insentif Pengambilan Pekerja di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

Di bawah program tersebut, majikan akan menerima bantuan kewangan RM800 sehingga enam bulan sekiranya mereka menggaji seorang pencari kerja berusia di bawah 40 tahun, dan RM1,000 setiap seorang bagi tempoh yang sama sekiranya mereka menggaji pencari kerja berumur 40 tahun dan ke atas.

MYFutureJobs, yang merupakan portal perkhidmatan pekerjaan di bawah Kementerian Sumber Manusia, adalah untuk mereka yang mencari pekerjaan dan juga majikan yang memerlukan pekerja yang sesuai untuk mengisi kekosongan jawatan di syarikat mereka.

Portal tersebut menyediakan pilihan pekerjaan yang memadankan kemahiran dan kompetensi pencari kerja dengan permintaan majikan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan menggesa majikan yang mempunyai kekosongan pekerjaan atau mereka yang mahu mengembangkan operasi, menggunakan MYFutureJobs untuk mendapatkan pekerja atau bakat yang dikehendaki mereka.

Saravanan menggesa majikan yang mempunyai kekosongan pekerjaan agar mendapat manfaat daripada portal MYFutureJobs.

Pada masa sama, majikan dapat memanfaatkan insentif pengambilan pekerja yang disediakan oleh kerajaan, termasuk program latihan kemahiran untuk mereka yang baru diambil bekerja.

Sejak Penjana dilaksanakan pada Jun lalu, lebih 2,000 pencari kerja dan kekosongan dipaparkan secara harian di laman MYFutureJobs.

“Portal mesra pengguna dengan teknologi canggih dapat memadankan profil dengan tepat. Ia bukan sekadar carian yang menggunakan kata kunci yang memberikan padanan pekerjaan.

“Portal ini telah dibangunkan oleh kajian algoritma pemadanan selama bertahun-tahun berdasarkan ekonomi maju dan disesuaikan dalam konteks keperluan pasaran buruh di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, Portal MYFutureJobs memainkan peranan penting dalam sistem pasaran buruh jangka panjang, sambil menambah bahawa data masa nyata yang dihasilkan oleh portal tersebut dapat membantu kerajaan dalam membuat keputusan dasar yang efektif mengenai penawaran dan permintaan di pasaran kerja.

Pelbagai testimoni daripada pengguna portal membuktikan keberkesanan portal tersebut dalam memenuhi keperluan majikan dan pekerja.

Pekerja pembersihan, Maimunah Kamil, 56, telah menganggur selama lima bulan selepas diberhentikan kerja pada Februari lalu.

Dia berjaya mendapat pekerjaan daripada Suri Pantas Sdn Bhd dengan gaji bulanan RM1,200 dan tugasnya memastikan kebersihan di tempat-tempat awam di Kuching, Sarawak.

Pengurus Sumber Manusia Suri Pantas, Tinno Noel berkata, syarikat tersebut yang menggaji Maimunah dan seorang lagi pencari kerja, layak mendapat insentif pengambilan pekerja, yang dapat menampung sebahagian daripada gaji mereka.

Sia mengakui portal MYFutureJobs Perkeso amat membantunya dalam mendapatkan pekerjaan.

Mengenai MYFutureJobs, Theresa Sia yang berusia 55 tahun pula memperoleh pekerjaan sebagai pengurus pentadbiran dan operasi Montfort Youth Center di Melaka, yang merupakan pusat yang menyediakan latihan kemahiran vokasional dan pembentukan karakter untuk belia berumur antara 16 hingga 19 tahun.

“Sukar untuk mendapat kerja dalam tempoh yang sukar ini, tetapi portal MYFutureJobs amat membantu,” ujar ibu kepada dua anak itu yang sebelum ini kehilangan kerja di sebuah homestay tempat dia bekerja, yang ditutup berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19.

Sia turut menerima elaun berjumlah RM3,000 daripada Perkeso ketika dia menganggur.

“Ia amat membantu saya untuk membayar bil-bil,” katanya.

Sementara itu, Eksekutif Sumber Manusia Montfort Youth Centre, Santhiyiah Vijayakumar yang berkongsi mengenai pusat tersebut, memberitahu ia bergantung sepenuhnya kepada bantuan kerajaan dan sumbangan orang ramai.

“Namun, dana semakin berkurangan sejak kebelakangan ini,” katanya.

Santhiyah berkata, pusat itu baru-baru ini mengambil tiga pekerja dan menerima bantuan kerajaan menerusi Program Insentif Pengambilan Pekerja.

“Bantuan kerajaan seumpama itu membantu membayar gaji mereka,” katanya.

 

 

Sumber: Mstar

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*