Harga siling bagi pelitup muka akan diturunkan lebih rendah daripada RM 1.20.
Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Alexander Nanta Linggi kepada Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau berkata harga siling pelitup muka tiga ply (lapis) akan diturunkan daripada RM1.50 seunit kepada RM1.20.
“Tetapi sekarang memandangkan maklum balas umum, kami dah bincang mungkin kita akan turun lagi bawah daripada RM1.20,” katanya.
Alexander berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong ketika sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) pada sidang Dewan Rakyat.
Terdahulu, Khoo ingin tahu langkah yang diambil KPDNHEP bagi memastikan harga pelitup muka diturunkan.
Pada 23 Julai lalu, Alexander mengumumkan harga siling pelitup muka diturunkan kepada RM1.20 daripada RM1.50 seunit bermula 15 Ogos, manakala harga borong bahan itu yang ketika ini RM1.45 seunit juga diturunkan kepada RM1.15 bermula pada tarikh sama. – BERNAMA
Sumber: Mstar
Leave a Reply Cancel reply