Pelakon Adam Shahz menceritakan pengalaman dia menjalani proses kuarantin selama 18 hari.
Aktif menjalankan tugas sebagai anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) memberi bantuan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Adam terpaksa menjalani proses terbabit lebih empat hari daripada kebiasaan.
“Saya terpaksa dikuarantin kerana ada salah seorang individu yang dijumpai ketika saya bertugas memberi bantuan sebagai anggota APM disahkan positif COVID-19.
“Bayangkan, hari ini saya berjumpa dengan dia, esok dia disahkan COVID-19. Jadi, saya terpaksa mengasingkan diri.
“Sepatutnya, proses kuarantin akan dijalankan selama 14 hari atau dua minggu sahaja, tetapi saya pula menjalaninya selama 18 hari.
“Sebelum mengakhiri proses kuarantin selama dua minggu, semua individu harus menjalani ujian COVID-19. Apabila keputusannya negatif, barulah boleh ‘dibebaskan’.
“Saya lambat ‘bebas’ kerana keputusan ujian COVID-19 saya lambat keluar. Syukur Alhamdulillah, selepas 18 hari, saya disahkan negatif,” kata Adam.
Tambah pelakon filem Town Mall ini lagi, pengalaman kuarantin yang dilaluinya agak mencabar kerana sepanjang tempoh PKP, Adam aktif menjalankan tugasnya sebagai anggota APM untuk berjumpa orang ramai memberikan bantuan.
“Bayangkan saya sudah biasa keluar memberikan bantuan, tiba-tiba saya harus menjalani proses kuarantin. Agak mencuit kerana sebelum ini saya yang menghantar bantuan, lepas tu saya pula yang dapat bantuan kerana menjadi individu yang dikuarantin.
“Sejujurnya, pengalaman ini akan saya ingati dan saya sangat bersyukur kerana terhindar dari COVID-19,” katanya lagi.
Sumber: Gempak, IG @adamshahz
Leave a Reply Cancel reply