Lulusan Kejuruteraan Kapal Terbang Tak Kesal Kerja Tukang Kayu. Kini Peroleh Pendapatan Lumayan.

Kehidupan seseorang itu mampu berubah asalkan bijak rebut peluang serta tidak mudah putus asa.

Perkara tersebut telah dibuktikan oleh seorang anak muda dari Langkawi, yang kini menjana pendapatan lumayan dalam bidang kraftangan.

Mohd Ashraf Ammar Affandi, mula melibatkan diri dengan kerja mengukir kayu menggunakan laser, sejak tiga tahun lal.

Pemuda berusia 34 tahun itu terdorong melibatkan diri dalam bidang pengukiran ini selepas gagal mendapat kerja, biarpun mempunyai kelayakan akademik dalam bidang penyelenggaraan kapal terbang dari sebuah universiti di Sepang.

Menurut laporan media tempatan, Mohd Ashraf melihat potensi kraftangan di Langkawi sebagai suatu yang sangat bernilai dan mempunyai potensi besar kerana jarang sekali kerjaya tersebut diterokai oleh anak muda seusianya.

Bukannya niat untuk mendabik dada dengan apa yang telah dicapai hari ini, Mohd Ashraf sebaliknya berkata, kejayaan yang ditempanya adalah kerana berkat usahanya yang tidak mengenal putus asa.

“Saya mempelajari bidang kejuruteraan kapal terbang tapi tidak pernah bekerja dalam bidang itu. Selepas tamat belajar, saya pulang ke Langkawi dan berkecimpung dalam bidang pelancongan.

“Pertama kali saya bermula, ada banyak persaingan, buat kayak, jungle trekking. Asalnya kami sahaja yang buat, tetapi bila ada persaingan, saya terfikir hendak buat benda lain.

“Asalnya ia hobi kecil-kecilan sebab saya memang minat bidang kayu dan minat bidang rekaan juga. Jadi, ia bukan sesuatu yang susah bagi saya,” kata Mohd Ashraf.

Ketika ini, katanya, tempahan dibuat pelanggan melalui WhatsApp atau dalam talian.

Antara tempahan yang paling banyak diterima adalah ukiran wajah, selain sesuatu yang mendatangkan nostalgia kepada penempah.

Upah yang dikenakan adalah lingkungan antara RM50 hingga ratusan ringgit, bergantung kepada jenis kayu yang digunakan.

Hasil kegigihannya, Mohd Ashraf kini memiliki bengkel kraftangannya sendiri yang baru dibuka di Bukit Lembu dekat Kedawang, Langkawi.

Dia yang bermula dengan ‘sekadar mencuba’, kini menjadikan bidang pengukiran sebagai punca utama pendapatan.

Korang juga jika ingin berjaya dalam apa jua bidang sekalipun jangan mudah putus asa dan sentiasa cuba yang sesuatu yang baru.

SinarPlus percaya segala usaha yang kita lakukan pasti akan ada hasilnya seperti apa yang telah dibuktikan oleh Mohd Ashraf.

Syabas anak muda! Teruskan berusaha!

 

 

Sumber : Sinar via Soya Lemon

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*