Simpanan Semakin Berkurangan, Amar Baharin Syukur Kembali Jalani Penggambaran

Pelakon Amar Baharin dan Amyra Rosli telah mendirikan rumah tangga mereka pada 11 November 2016. Hasil perkongsian hidup mereka berdua dikurniakan dua cahaya mata, Aqeef Anaqi, 3 dan Ayra Aryssa yang lahir pada 1 Februari lalu.


Terbaharu, Amar meluahkan rasa syukur kerana kerajaan sudah membenarkan aktiviti seni termasuk penggambaran mulai 10 Jun lalu.

Semua tahu, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lalu, hampir kesemua sektor ekonomi terpaksa dihentikan bagi mengelakkan penu1aran wab4k Covid-19. Perkara ini telah memberi kesan kepada rakyat yang tidak mempunyai pendapatan tetap termasuklah golongan artis.

Menurut Amar, wang simpanannya semakin berkurangan sejak telah tiga bulan tidak bekerja berikutan PKP yang dilaksanakan pada 18 Mac lalu.

Jelas Amar lagi, walaupun terpaksa mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan namun dia seronok dapat menjalani penggambaran seperti biasa.

“Alhamdulillah… Syukur kepada Allah kerana kami diizinkan untuk bekerja semula. Setelah tiga bulan tak bekerja, tidak dinafikan simpanan yang ada semakin berkurangan.

“Apa yang boleh saya cakap, kami di set ini semua bersyukur sangat setelah dibenarkan penggambaran semula. SOP yang dikenakan tidak menjadi masalah untuk kami warga kerja.

“Cuma kena lebih berhati-hati ketika waktu makan dan bersolek sebab ada melibatkan penjarakkan sosial. Keadaan di lokasi masih seperti sebelum ini.


Amar kini sedang menjalani penggambaran drama 26 episod berjudul Ayat-Ayat Halal terbitan Global Station Sdn Bhd yang diarahkan oleh pengarah MP Roslin.

Menerusi laporan mStar 2 Jun lalu, aktiviti penggambaran boleh dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Dalam pada itu, Amar memberitahu dia sentiasa memastikan dirinya bersih sebelum meluangkan masa bersama isteri dan anak-anak selepas pulang bekerja.

Amar berpendapat norma baharu akibat daripada krisis penularan wabak Covid-19 membuatkan dia berasa lebih yakin untuk bersama keluarganya.


“Setiap kali saya balik rumah, saya akan pastikan terus mandi dan bersihkan diri kemudian solat. Selepas selesai semua itu, barulah saya bermain dengan anak-anak.


“Dapat juga luang masa dengan isteri saya. Ini perkara yang baru dan bagi saya dengan cara ini, saya rasa lebih bersih sebelum luangkan masa dengan keluarga,” ujarnya.

 

Sumber: Mstar, Ig @amarbaharin

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*