“Topeng Dah Kemek, Kotor Terkena Abu Arang” – Kepak Ayam Tak Laku, Isteri Pak Mat Menangis Pelanggan Tetap Datang Bawa Sumbangan

Seorang pengguna Twitter, Neyra Shazeyra telah memuatnaik foto sepasang warga emas sedang menjual makanan di bahu jalan Taman PKNK, Alor Setar, Kedah. Melihat gambar sahaja sudah buat kita merasa sebak, inikan pula berada di tempat mereka.

Neyra ketika dihubungi Mstar memberitahu dia merasa simpati melihat Pak Mat yang berusia dalam lingkungan 70-an dan isterinya masih meneruskan julan seperti biasa ketika rakyat berdepan Perintah Kawalan Pergerakan, kerana itulah satu-satunya sumber pendapatan mereka.

Tambah Neyra lagi, dia merupakan salah seorang pelanggan tetap Pat Mat dan setiap hari pasti ada orang singgah beli kepak ayam, cuma masa dia datang pada hari Khamis, kelihatan jualan Pat Mat tidak laku.

“Saya ni salah seorang pelanggan tetap Pak Mat, hari-hari memang ada la orang akan datang singgah beli kepak ayam, tetapi semalam(Khamis) masa saya datang beli, Pak Mat duduk termenung tengok ayamnya yang tak laku.

Selain itu, Neyra juga memberitahu bahawa bukan kepak ayam madu sahaja yang dijual, Pak Mat juga menjual makanan lain seperti sosej bakar, rojak buah, buah-buahan dalam paket kecil dan air cincau.

“Pak Mat bukan jual kepak ayam madu je, ada juga makanan lain seperti sosej bakar, rojak buah, buah-buahan dalam paket kecil dan air cincau.

“Selalu saya datang dalam pukul 4 petang, dah tak banyak makanan yang tinggal, tetapi semalam Pak Mat hanya duduk termenung sambil tunggu pelanggan datang beli makanannya yang masih banyak,” cerita Neyra lagi.

Neyra turut mendedahkan bahawa gerai Pak Mat sering dikunjungi kanak-kanak disebabkan sifatnya yang baik hati dan harga makanan yang murah.

“Saya sendiri pun boleh kata hari-hari juga beli sebab dekat dengan rumah.

“Kepak ayam tiga ketul RM5, kalau ayam tu kecil, Pak Mat selalu bagi lebih. Air cincau pula saiz kecil RM1 kalau besar pula RM1.50,” ujar Neyra lagi.

Tweet tersebut telah mendapat perhatian ramai malah ramai yang mahu memberi sumbangan kepada Pak Mat dan isterinya.

“Saya tak berniat untuk minta sumbangan pun, tetapi ada beberapa hamba Allah ni minta saya sampaikan sumbangan wang mereka kepada Pak Mat.

“Dalam pukul 3 petang semalam, saya terima lebih RM300 untuk disumbangkan kepada Pak Mat dan isterinya,” ujar Neyra.

Tambah Neyra lagi, isteri Pak Mat memakai topeng muka yang sudah kemek, menangis ketika dia menghulur wang sumbangan daripada netizen.

“Isteri Pak Mat menangis ketika saya sampaikan wang sumbangan netizen. Saya tengok topeng muka dia pun dah kemek dan kotor terkena abu arang. Mungkin dia pakai topeng yang sama sepanjang hari.

“Pak Mat tak berhenti cakap terima kasih kepada saya sebagai tanda bersyukur setelah menerima sumbangan tersebut,” ujarnya.

 

 

 

Sumber: Mstar

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*