Sebelum ini, koleksi lebaran pereka fesyen duo terkenal iaitu Rizman Nordin dan Ruzaini Jamil atau lebih dikenali Rizman Ruzaini telah menampilkan selebriti popular sebagai ‘muse’ termasuklah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Nasha Aziz, Nur Fazura, Erra Fazira dan ramai lagi.
Tapi yang menarik untuk koleksi lebaran tahun 2020 ini, mereka telah mengumumkan isteri mereka sebagai model utama atau ‘muse’.
Seperti diketahui ramai, Rizman telah mendirikan rumah tangga bersama ahli perniagaan jelita, Nurida Suraya pada September tahun lalu dan kini sedang hamil anak pertama.
Manakala Ruzaini telah mendirikan rumah tangga bersama Hidayati Yahya atau lebih dikenali sebagai Deqda pada tahun 2016.
Perkara itu diumumkan menerusi laman Instagram rasmi Rizman Ruzaini malam tadi.
“Tiada sesiapa yang lain layak menjadi ‘muse’ untuk koleksi lebaran kami tahun ini selain dari isteri kami.
“Mereka bukan selebriti, bukan juga figura terkenal tetapi mereka sebenarnya ‘muse’ terbesar kami, yang sentiasa memberi inspirasi dan bergelar ratu di hati kami,” tulis mereka di ruangan kapsyen.
Perkongsian tersebut telah mendapat pelbagai komen dari pengikutnya. Rata-rata pengikut pereka fesyen duo ini berasa teruja dan memuji kecantikan isteri Rizman dan Ruzaini.
Sumber: Gempak, Ig Rizman Ruzaini
Leave a Reply Cancel reply