Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperkenalkan kemudahan akses simpanan persaraan Akaun 1, i-Sinar.
Langkah ini akan memberi manfaat kepada dua juta ahlinya yang kehilangan pekerjaan, diberi cuti tanpa gaji atau ketiadaan pendapatan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tunku Alizakri Alias, bagi ahli yang mempunyai simpanan dalam Akaun 1 bawah RM90,000, mereka mempunyai akses amaun pendahuluan sehingga RM9,000.
Beliau berkata, bagi mereka yang mempunyai simpanan persaraan dalam Akaun 1 melebihi RM90,000, akses pendahuluan yang diberi adalah 10 peratus bagaimanapun amaun simpanan yang boleh didahulukan adalah RM60,000.
Tambahnya lagi, amaun pendahuluan ini akan dikreditkan secara berkala sehingga enam bulan dengan pendahuluan pertama sehingga RM4,000 (simpanan bawah RM90,000) atau RM10,000 (simpanan atas RM90,000).
“Sebanyak dua juta ahli akan menerima manfaat ini dengan anggaran RM14 bilion. KWSP akan memberikan pendahuluan kepada ahli yang terjejas dengan dikreditkan dalam akuan bank ahli pada hujung bulan selepas permohonan dibuat bermula Januari 2021.
“Jumlah yang diberikan itu perlu dibayar semula apabila mereka sudah mendapat pekerjaan dan mula kembali mencarum. Caruman baharu itu akan dikreditkan 100 peratus ke dalam Akaun 1 sehingga amaun pendahuluan itu digantikan semula.
“Selepas itu caruman akan kembali ke kadar pecahan asal iaitu 70 peratus bagi Akaun 1 dan 30 peratus bagi Akaun 2,” katanya dalam taklimat khas KWSP kepada Berita Harian.
Tunku Alizakri berkata, untuk menentukan amaun yang diperlukan untuk permohonan di bawah i-Sinar dan memastikan kelangsungan hidup semasa krisis, ahli digalakkan untuk mendapatkan nasihat kewangan melalui Pegawai Khidmat Nasihat Persaraan (RAS) KWSP dan/atau Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).
Sumber: Berita Harian
Leave a Reply Cancel reply