10 Jururawat HSA Dapat Myvi Daripada Sultan Johor

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.

Itulah pepatah yang sesuai untuk diungkapkan kepada 10 jururawat bertuah dari Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor.

Mana tidaknya, kesemua 10 jururawat ini menerima hadiah yang bukan biasa-biasa daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan kereta Perodua Myvi kepada jururawat yang bertugas di Wad Diraja hospital berkenaan, bagi menzahirkan penghargaan atas khidmat mereka kepada baginda dan keluarga DiRaja Johor.

Menerusi perkongsian di laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, kelihatan riak wajah gembira frontliners yang tidak lekang dengan senyuman di samping kereta baharu mereka yang berwarna biru.

Penyelia Jururawat, Matron Rokiah Samin yang bertugas di Wad Diraja HSA sejak 2006, melahirkan perasaan syukur di atas kurniaan berkenaan.

Terpancar riak kegembiraan pada wajah jururawat bertuah ini.

“Mewakili mereka yang lain, saya menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Baginda Tuanku Sultan di atas kurniaan ini.

“Besar sungguh nilainya kepada kami semua, dan kami juga sentiasa mendoakan kesejahteraan dan kesihatan DYMM Sultan Johor serta keluarga Diraja Johor,” katanya kepada Royal Press Office (RPO).

Sementara itu, seorang jururawat, Nuraini Aziz, 28, pula sanggup hadir sendiri untuk menerima kenderaan berkenaan walaupun masih dalam tempoh pantang selepas melahirkan anak, tiga hari lalu.

“Saya bersyukur dapat hadir kerana ini merupakan satu kenangan yang sangat istimewa. Kami akan terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada DYMM Sultan Johor dan keluarga Diraja Johor,” katanya.

Salah seorang jururawat mencuba kereta baharu yang diterimanya.

Kurniaan berkenaan disampaikan dalam satu majlis di Kasawari Motors Sdn Bhd di Larkin, Johor oleh Pengarah Kasawari Motors, Muhammad Fahmi Dr Hassan.

Sehingga kini perkongsian di laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim itu meraih sehingga 2,500 shares selain dibanjiri dengan ribuan komen netizen.

Rata-ratanya turut sama meluahkan rasa gembira dan teruja dengan kurniaan oleh Sultan Johor itu.

“Apakah amalan mereka yang bertuah ini? Murah rezeki. Alhamdulillah. Tahniah,” komen Mohd Shahrizan Solihim.

“Alhamdulillah… Tahniah semua jururawat. Beruntunglah kalian jasamu dikenang. Sultan berjiwa rakyat. Daulat Tuanku,” kata Aziezah Aziz.

Antara komen netizen yang turut sama melahirkan rasa teruja.

“Alhamdullillah. Memang besar peng0rbanan frontliners. Semoga Tuanku dan keluarga sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik dan dalam lindungan Allah SWT,” komen Wan Norasikin Ahmad pula.

Dalam pada itu, ada juga netizen yang berkongsi pengalaman ketika dirawat di hospital berkenaan dan mengambil kesempatan untuk menzahirkan rasa terima kasih di atas perkhidmatan yang diberikan petugas perbuatan.

“Terima kasih kepada semua petugas jabatan kecemasan. Dulu pernah dapat rawatan di Hospital Sultanah Aminah. Kema1angan, pat4h tulang,” tulis Badar.

 

 

Sumber: Mstar

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*