Masalah rumah tangga Datin Alyah dengan pengarah muzik terkenal Datuk Ramli MS sejak pasangan itu berkahwin pada 2013 hampir membuatkan penyanyi itu berputus asa.
Ujar Alyah atau nama sebenarnya Noor Hasliah Abu Hasan, dia sedar wujud pihak tertentu yang tidak senang dengan perkahwinan mereka dan ingin memecah-belahkan rumah tangganya.
Enggan terus membiarkan ia terus berlanjutan, penyanyi lagu Meluruh itu dan suaminya sama-sama mendalami ilmu agama dan saling memperbaiki diri untuk menguatkan lagi hubungan mereka sebagai suami isteri.
“Kita berubah di kedua-dua pihak. Dulu pernah satu waktu kita rasa sudah tiada jodoh dah… macam memaksa diri sendiri. Ini pengalaman saya sendiri sebelum ini, rumah tangga ada up and down.
“Orang dekat luar pun get ready saja… bukan semua orang suka kita dan perkahwinan kita. Ada yang datang dekat saya dan cerita perkara lama masa saya tak wujud lagi.
“Untuk apa… semua untuk memecah-belahkan rumah tangga. Apa yang menguatkan saya adalah agama. Ibu bapa kita dulu tak ada laman sosial, walaupun bapa saya gar4ng tapi ibu saya tetap menunggu bapa saya.
“Itulah agama yang dididik oleh orang tua mereka. Itulah yang saya rasa terlepas untuk beberapa tahun lalu. Alhamdulillah saya dah dapat balik, saya harap dapat terus kekalkan macam ini,” kata Alyah kepada mStar.
Alyah ditemui pada majlis memperkenalkan dia sebagai duta produk Zafesha Simply di Hotel Dorsett, Putrajaya pada Sabtu lalu.
Dalam pada itu, Alyah mengakui dia ada perancangan untuk bersara daripada dunia seni beberapa tahun lagi dan salah satu sebabnya mahu memberi tumpuan bagi mendapatkan zuriat.
“Secara jujur saya memang tak akan menyanyi sampai tua… kita pun tak tahu tapi ini hanya perancangan. Allah lebih mengetahui. Ada satu waktu yang tak boleh nak dikongsikan, tapi saya akan bersara bukan berehat.
“Ini keputusan yang terbaik dan memang saya tidak akan menyanyi sampai umur 45 tahun. Saya pernah luahkan hasrat itu kepada suami dan dia pun faham kenapa saya buat keputusan itu.
“Selagi saya beri komitmen sepenuhnya pada karier seni, mungkin saya tak dapat nak berusaha untuk menambahkan ahli keluarga. Saya memang ada perancangan untuk lakukan rawatan kesuburan In Vitro Fertilisation (IVF),” ujarnya.
Sumber: Gempak, Foto Ig: @alyah81
Leave a Reply Cancel reply