“Rezeki Bukan Hanya Wang Ringgit Tapi…” – Rita Rudaini Didik Anak Beri Makan Kucing Jalanan Sebelum Ke Sekolah

Pelakon Rita Rudaini atau nama sebenarnya Rita Rudaini Mokhtar mendedahkan dia dan anak-anaknya iaitu Airit Rayyan Rizqin serta Airit Qaqa Arjuna akan memberikan makanan dan minuman kepada kucing di jalanan sebelum menghantar mereka ke sekolah.

Menerusi Instagram Rita , 44, berkata dia menganggap kehadiran kucing itu membawa rezeki kepada mereka.


“Setiap hari sebelum pergi sekolah, mesti singgah beri makanan dan air kat kucing. Didik anak-anak berkongsi rezeki sesama makhluk. Pernah tak, ada kucing yang tiba-tiba datang ke rumah kita?

“Kadang-kadang pergi buang tapi datang balik… bergembiralah kerana anda terpilih untuk mendapatkan kurniaan rezeki yang berpanjangan daripada Tuhan.

“Allah SWT nak menegur kita bahawa jika kita menolak kehadirannya, seolah-olah kita menolak rezeki yang melimpah ruah telah diperuntukkan Allah untuk kita,” kata Rita.

Rita turut berkongsi video di laman sosialnya pada Khamis yang memperlihatkan anak lelakinya memberikan makanan kepada beberapa ekor kucing jalanan.

Rata-rata netizen memuji sikap Rita yang dianggap pencinta haiwan dan ada juga segelintir mereka berkongsi pengalaman apabila didatangi kucing di rumah.

Dalam pada itu, Rita memberitahu haiwan yang menjadi kesayangan ramai itu bukan sahaja membawa rezeki dari segi wang ringgit atau harta benda tetapi juga dalam bentuk kegembiraan, kesihatan dan ketenangan.

“Kucing itu hanya menjadi asbab kepada terjemputnya segala rezeki ini dengan keikhlasan kita dan doa daripada kucing untuk tuan rumah. Jadi, selepas ini jika kita didekati kucing berbaik sangkalah kepada Tuhan.

“Kerana agenda rezeki kita dari Tuhan itu lebih baik dari perancangan kita sendiri dan mungkin kehadiran kucing itu menjadi kunci kepada turunnya rezeki di dalam hidup kita.

“Rezeki bukan hanya wang ringgit dan harta benda tapi juga dalam bentuk yang lain seperti kegembiraan, kesihatan, ketenangan, ilmu, kemudahan dan pelbagai lagi di dunia dan akhirat,” ujarnya.

 

Sumber: Mstar, Ig @ritrud727

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*