“Sikit-Sikit Cakap Orang Putih…” – Shahrol (Shiro) Dedah Kisahnya Mula-Mula Kenal Alif Satar

Enam tahun menjalinkan persahabatan, pelawak Shahrol (Shiro) mendedahkan tidak menggemari sikap dan karakter pengacara Alif Satar ketika awal perkenalan mereka.

Digandingkan bersama menerusi program Sukalattew terbitan Astro sekitar tahun 2014, Shahrol atau nama sebenarnya Shahrol Azizie Azmi, 35, berkata, sukar untuk dia menerima cara Alif yang dianggap ‘poyo’ atau menjeng kelkan.

“Tahun 2014 kali pertama aku berkenalan dengan seorang mamat bernama Alif Satar. Kami digandingkan dalam sebuah program Sukalattew.

“Minggu pertama sebelum mula program tu aku cuba la berbual dengan dia. Masa berbual sikit-sikit cakap orang putih… siap dengan kening terangkat sambil buat rolling eyes dekat aku.

Foto yang diambil pada rakaman terakhir program Sukalattew pada 2014.

“Dalam hati aku fikir poyo g1la mamat ni. Ni mesti jenis-jenis minum laga gelas dulu, nak buang air pun dekat KLCC ni,” tulisnya.

Kata Shahrol, dia hampir menarik diri pada minggu pertama rakaman program tersebut kerana menganggap gandingan mereka tiada keserasian.

Lebih menyedihkan, kata Shahrol dia mendapat tahu Alif juga berasa kurang senang dengan sikapnya yang agak kekampungan.

“Minggu tu aku minta nak tarik diri sebab tak nak berpasangan dengan mamat ni. Rupa-rupanya dia pun sama, tak nak berpasangan dengan aku juga. Katanya aku macam budak kampung, sikit-sikit sebut nama Kluang… macam la ada Pavillion kat Kluang tu.

“Bos dah pening kepala minta cuba sampai sebulan dulu. Aku pun setuju, hadap saja la dia berbual dan cuba kenal dia lebih rapat,” jelasnya.

Bagaimanapun, Shahrol mengakui tanggapannya mula berubah selepas mengenali lebih rapat penyanyi lagu Lelaki Seperti Aku itu.

Malah, Shahrol berkata, Alif merupakan seorang sahabat dan pendengar yang baik terutama ketika dia sedang menghadapi masalah.

“Rupa-rupanya apa tanggapan aku selama ni jauh meleset. Bila ada masalah aku luahkan, dia pendengar yang baik dan dia cuba bantu semampu yang boleh. Kepala sama saja g1la-g1la dengan aku.

Shahrol dan Alif masih berkawan rapat sehingga kini.

“Rehat masa rehearsal akan solat Asar sama-sama. Jauh dari budak moden yang ke arah barat yang aku sangka sebelum ini. Lama kelamaan hubungan itu sangat rapat, masa aku kahwin dia la pengapit aku,” katanya.

Mengimbau kenangan itu, Shahrol berpesan kepada pengikutnya supaya tidak terlalu cepat menilai seseorang sebelum mengenali mereka dengan lebih rapat.

“Gambar 2014 itu adalah hari terakhir program Sukalattew. Terus terang air mata jantan masing-masing jatuh sebab itu adalah kali terakhir berada di pentas yang penuh kenangan bersama.

Moral of the story, hidup kita ini jangan cepat menilai seseorang. Jangan nilai dan dengar tentang seseorang melalui mulut orang lain. Kita kenal dan nilai sendiri.

“Semoga berjaya dalam setiap apa yang kau lakukan, Alif. Doa aku yang baik sentiasa mengiringi kau sekeluarga,” ujarnya.

 

 

Sumber: Mstar

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*