KUALA LUMPUR: Pelakon, Bella Dally, 29, mengakui perlu selektif dalam pemilihan watak, termasuklah menjaga batas pergaulan demi tidak menjejaskan kepercayaan yang diberikan suami.
“Alhamdulillah, suami memahami kerja, tetapi saya tidak boleh mens1a-s1akan kepercayaan diberikan suami. Saya faham, apabila memegang status isteri, saya harus tahu menjaga batas.
“Biasanya, apabila menerima tawaran, saya akan melihat siapa pengarah dan macam mana jalan ceritanya sebelum bersetuju,” katanya kepada BH Online.
Bella atau nama sebenarnya, Nabilah Ali Dally berkata, walaupun bergelar isteri, namun minat dalam bidang lakonan tidak pernah luntur.
Katanya, kecintaan terhadap dunia lakonan masih menebal, namun tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama tiga bulan menyebabkan kerjaya lakonannya sedikit terjejas.
Kali terakhir wanita berasal dari Kota Kinabalu, Sabah itu menghiasi kaca televisyen (TV) pada Januari lalu menerusi drama Adellea Sofea yang menampilkan Mira Filzah dan Ungku Ismail sebagai teraju utama. Sejak itu, wajahnya jarang muncul di kaca TV.
“Saya masih minat berlakon dan akan terus berlakon. Suami tak pernah menghalang minat, malah memberikan galakan meneruskan kerjaya lakonan supaya ada sesuatu boleh dilakukan.
“Cuma disebabkan PKP, dua penggambaran yang dijadualkan pada April kini masih tertangguh kerana syarikat produksi mahu mendahulvk4n produk lain yang tertangguh. Jadi, sementara tiada sebarang aktiviti lakonan, saya sibuk menguruskan perniagaan,” kata pelakon yang lahir menerusi program Pilih Kasih pada 2009.
Bella yang kini mengusahakan produk kosmetik berasaskan krim bibir sejak hampir setahun lalu berkata, dia memilih produk kosmetik kerana suka kepada kecantikan.
Setakat ini, katanya, dia mempunyai dua jenama produk dan bakal menambah satu produk baharu yang sedang melalui proses penyelidikan dan pembangunan.
Walaupun mendirikan rumah tangga dengan Arif Izuddin Mohd Radzali, 35, namun Bella tak bergantung kepada suaminya apabila membuat keputusan untuk menceburi bidang perniagaan.
Sebaliknya, pelakon filem Desolasi itu mengakui, mempelajari selok belok perniagaan sendiri tanpa mengharapkan bantuan suami.
“Saya lebih suka berdikari. Walaupun suami ahli perniagaan tetapi hampir 90 peratus perniagaan diusahakan dipelajari sendiri. Berikutan PKP tempoh hari, saya dapat membahagikan tumpuan sepenuhnya kepada perniagaan. Alhamdulillah, pendapatan diraih sepanjang tempoh PKP juga memberangsangkan.
“Biarpun komitmen semakin bertambah dengan adanya perniagaan, tetapi bidang lakonan tidak akan sesekali diabaikan. Lagipun, saya mempunyai pekerja, jadi mereka membantu saya menguruskan perniagaan.
“Namun, saya tak menyerahkan seluruh kepercayaan kepada mereka, sebaliknya tetap memantau walaupun sibuk berlakon,” katanya.
Sumber : BH, Foto Ig @belladally
Leave a Reply Cancel reply