Lan A To Z Tauke Buluh Lemang

KUALA LUMPUR: Mengusahakan syarikat menyewa peralatan sistem audio, penul4ran c0v1d-19 memberi kesan besar kepada pendapatan anggota trio popular era 1990-an, A To Z iaitu Norazlan Abdul Aziz atau mesra disapa Lan.

Sejak tempahan peralatan dibatalkan berikutan lar4ngan mengadakan majlis atau perhimpunan, Lan tercari-cari idea bagi menyambung punca rezeki.

Akhirnya, Lan berusaha mencari buluh lemang untuk menampung keluarga ketika seluruh negara akur dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Mac lalu.

“Jika diikutkan, saban minggu, jadual tempahan peralatan sistem audio yang saya usahakan sentiasa penuh.

“Apabila PKP dikuatkuasakan, saya termenung sekejap. Kemudian, apabila terfikir saya pernah berniaga buluh lemang, tahun lalu, saya terpanggil melakukannya sekali lagi.

“Alhamdulillah, perniagaan ini menjadi. Sepanjang Ramadan sehingga Aidilfitri, saya jual kira-kira 8,000 batang buluh lemang.

“Jadi apabila memikirkannya, tak jadi hendak terkilan. Sebaliknya, saya terus tersenyum,” katanya kepada BH Online.

Lan berkata, dia bekerjasama dengan masyarakat Orang Asli untuk mendapatkan bekalan buluh yang dijual pada harga RM1.50 hingga RM2 sebatang.

Biarpun keuntungan tidak besar kerana perlu membayar RM1 bagi setiap batang buluh diperoleh, Lan masih bersyukur apatah lagi tempahan terus diterima.

“Biarpun Aidilfitri sudah berlalu, masih ada yang mahukan buluh lemang. Malah, tempahan untuk Aidiladha mula diterima” katanya yang menetap di Felda Sungai Buaya, Rawang.

Selain buluh lemang, penyanyi yang lagu popular dengan lagu Itik Gembo-Gembo dan Darjat ini aktif menjual kuih tradisional.

“Sekarang saya sibuk menjual kuih lidah buaya. Pada mulanya, saya hanya rasa kuih itu yang dibuat oleh seorang wanita berpangkat makcik. Bila dimakan, rasa sedap pula.

“Jadi saya terfikir hendak menjual kuih itu,” katanya.

Lan berkata, dia mempromosikan jualan kuih itu di Facebook dan tempahan diterima saban hari.

“Dalam tempoh dua minggu, 100 balang dijual. Itulah hikmah PKP. Sebelum ini, kita tidak nampak kepentingan peniaga kecil, tapi sekarang orang ramai mula menghargai,” katanya.

Tambah Lan yang sudah tiga tahun menawarkan khidmat penyewaan peralatan sistem bunyi, dia tidak gemar meminta-minta, sebaliknya, lebih suka berusaha.

“Kalau tidak sihat, terbaring, itu lain cerita. Selagi boleh berjalan dan berusaha sendiri, saya buat apa sahaja yang boleh.

“Alhamdulillah, mulai hari ini, saya boleh menyambung perniagaan sewaan sistem audio. Saya sudah mula menerima tempahan, Alhamdulillah ramai yang menyokong saya,” katanya.

Lan berkahwin dengan Siti Nur Ain Daut dan dikurniakan dua anak iaitu Putera Muhammad Darwish dan Puteri Nur Darwisya.

 

Sumber : BH Online via Soya Lemon

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*