Hari bapa disambut setiap tahun pada hari Ahad minggu ketiga dalam bulan Jun sebagai tanda penghormatan kepada bapa yang menjadi individu penting dalam keluarga.
Sambutan hari bapa tahun ini cukup bermakna buat pelawak Achey, yang turut dapat meraikannya bersama anak tersayang Nur Tiara Zinnirah yang kini berusia dua tahun.
Pelawak Achey atau nama sebenarnya Mohd Nasir Hamzah dan isteri Nor Hasanah Yahya mendirikan rumah tangga sejak sembilan tahun lalu dan mengambil anak angkat pada tahun 2018.
Menurut Achey, kehadiran anak angkat itu merupakan satu rahmat kerana dia turut dapat merasai kehidupan sebagai seorang bapa.
“Dialah punca aku merasa hari ini! Aku bersyukur pada Allah. Jika tidak dia kurniakan Tiara Zinnirah kepadaku, tidak dapat aku merasa gelaran sebagai bapa di Hari Bapa.
“Walaupun bukan daripada rahim isteriku tapi Allah isikan kasih sayang kami yang tiada arah dahulu, kini dapat dicurahkan kepadanya.
“Ayah akan lakukan sebaik mungkin untuk kamu nak. Maaf ayah mohon kepada awak dan mama jika ada kekurangan pada ayah dalam menjalankan tanggungjawab. Ayah sayang awak,” katanya.
Perkara tersebut dikongsikan Achey di laman instagram miliknya.
Perkongsiannya itu mendapat pelbagai komen daripada pengikutnya.
Sumber: Ig @acheykintangkintung
Leave a Reply Cancel reply