“80 Peratus Pelanggan Tunda Majlis Kahwin” – Mila Jirin Pasrah Bisnes Terhenti Lepas Labur RM3 Juta

Penyanyi Mila Jirin yang juga merupakan pemilik syarikat perunding perkahwinan, Bizmilla, mengakui dia kini melalui episod yang cukup mencabar sepanjang hampir sedekad bergelar sebagai seorang usahawan.

Ini kerana, menurut Mila, dia tidak menyangka aktiviti perniagaannya akan tergendala akibat Covid-19 selepas melabur sebanyak RM3 juta menerusi projek bisnesnya yang dibangunkan di Johor awal tahun ini.

“Tiada siapa yang menjangka tentang Covid-19 dan PKP, tiada apa-apa perancangan awal dibuat terutama perancangan dari segi kewangan untuk menempuh Covid-19 ini.

“Di Bizmilla kami baru habis projek dewan baharu pada Januari lalu di Johor Bahru yang menelan belanja keseluruhan RM3 juta dan dua bulan selepas itu, PKP dilaksnaakan dan semua aktiviti perniagaan terpaksa dihentikan.

“Segala perancangan tidak berjalan seperti dirancang. Ini antara momen yang mencabar buat saya sepanjang bergelar usahawan hampir satu dekad, saya pasrah,” katanya ketika dihubungi Gempak.

Menurutnya lagi, rata-rata pelanggan yang sudah membuat tempahan juga terpaksa menunda majlis dan ada antara mereka yang membatalkan tempahan.

“Hampir 80 peratus majlis telah ditunda ke hujung tahun dan tahun 2021 dan hampir 20 peratus majlis dibatalkan.

“Pembatalan ini telah menjejaskan kewangan syarikat kerana banyak kos sudah dikeluarkan untuk menguruskan majlis kerana prosedur operasi standard kami  membuat persiapan bermula seawal 4 bulan sebelum majlis,” katanya.

Terdahulu, Mila mendedahkan bahawa dia kini menjalankan perniagaan kek dan pastri sebagai alternatif dalam meneruskan kelangsungan syarikat berikutan bisnes perunding perkahwinannya terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan

Sehingga kini, Mila mempunyai hampir 100 kakitangan di bawahnya.

 

Sumber: Gempak, Ig @mila_jirin

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*