COVID-19: PROTON pinjamkan 50 unit X70 kepada Kementerian Kesihatan

SUBANG JAYA: PROTON Holdings Bhd meminjamkan 50 unit X70 kepada Kementerian Kesihatan untuk digunakan kakitangan kementerian itu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Li Chunrong, berkata kereta akan digunakan bagi membawa pergi dan pulang kakitangan dari tempat kerja serta menghantar mereka ke mana-mana kawasan di negara ini yang menjadi tumpuan dan memerlukan perhatian segera.

“Sebagai pengeluar kereta di Malaysia dan penyumbang utama kepada industri automotif tempatan, PROTON melihatnya sebagai satu kewajipan untuk membantu kerajaan membendung penyebaran COVID-19.

“Kami amat menghargai jasa barisan hadapan negara dan merasakan bahawa ini adalah bantuan yang dapat kami tawarkan dalam masa yang singkat.

“Buat masa ini, ia adalah bantuan secara langsung yang boleh kami berikan, tetapi pada masa sama, kami juga mencari pelbagai cara lain untuk menghulurkan bantuan dan sokongan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, PROTON memperoleh kelulusan untuk meneruskan operasi penting syarikat sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) antaranya penyelenggaraan fasiliti pengeluaran dan pembukaan pusat servis terpilih.

Pusat servis terpilih yang dibuka itu adalah untuk memberi khidmat servis kepada kereta-kereta PROTON yang digunakan oleh agensi-agensi kerajaan yang beroperasi.

Mengulas lanjut, Chunrong berkata, PROTON juga amat mementingkan kesihatan dan keselamatan semua pekerjanya yang berjumlah hampir 10,000 orang.

Sepanjang tempoh PKP, katanya, status kesihatan setiap pekerja dipantau sebanyak dua kali setiap hari di mana sekiranya ada pekerja yang disyaki dijang kiti, akan diasingkan dan diberi rawatan sewajarnya.

“Pemantauan ini termasuklah di hujung minggu dan turut mengambil kira lokasi keberadaan mereka serta status kerja dalam memastikan mereka kekal produktif.

“Sebelum PKP dilaksanakan lagi, semua pergerakan pekerja yang perlu bertugas di luar syarikat diterhadkan bermula awal Februari 2020.

“Selain itu juga, mereka yang pulang dari luar negara dikehendaki menjalani kuarantin selama 14 hari termasuklah perlu diperiksa sebelum dan selepas tempoh kuarantin,” katanya.

Tambahnya, ketika wab4k COVID-19 mula menjadi berita utama, PROTON telah merangka pelan tindakan untuk membendung jang kitan dengan mengambil langkah secara teliti.

 

 

Sumber: BH

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*