Dayang Nurfaizah atau nama penuhnya Dayang Nurfaizah binti Awang Dowty merupakan seorang penyanyi yang sudah mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang industri hiburan. Namun begitu, bagi Dayang tidak pernah merasakan dia sudah berada di satu paras yang tinggi dalam kerjayanya.
“Saya belum merasakan kerjaya saya sudah berada di satu paras yang tinggi, saya sedar diri, walaupun sudah berkecimpung dalam industri hiburan lebih 20 tahun, masih banyak lagi perkara yang saya perlu belajar.
“Industri hiburan banyak perubahan, ia tidak sama dengan zaman awal kemunculan saya dahulu, saya harus lakukan sesuatu yang sesuai dengan kehendak masyarakat sekarang.
“Saya juga sentiasa cuba mencari ruang untuk memperbaiki diri agar mampu lakukan yang terbaik untuk peminat,” ujar Dayang kepada Gempak.
Tambah Dayang lagi, dia tidak boleh berasa selesa dengan kedudukannya sekarang dan perlu melakukan perubahan. Dia juga harus belajar cara pemasaran yang digunakan oleh pendatang baru dalam industri.
Pada masa yang sama, saya juga harus belajar cara pemasaran yang digunakan oleh penyanyi baru dalam industri kerana kebanyakan dari mereka memahami kehendak peminat masa kini,” tambahnya.
Dalam perkembangan lain, Dayang bakal tampil bersama Datuk Jamal Abdillah dalam Konsert Amal Alunan Irama yang akan berlangsung di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 11 April 2020 jam 8.30 malam.
Konsert ini merupakan anjuran bersama antara Yayasan Gerbang Bandar Tun Razak, Persatuan Karyawan Malaysia, Istana Budaya dan Educaring Team Pejabat Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Ia bertujuan untuk mengumpul dana bagi membantu golongan yang memerlukan di samping memberi peluang kepada golongan Asnaf, B40 dan orang kelainan upaya (OKU) untuk sama-sama menyaksikan konsert ini di Istana Budaya.
Di samping itu, sebahagian dana akan disumbangkan kepada Persatuan Karyawan Malaysia untuk membantu kebajikan ahli di dalamnya.
Harga tiket dijual pada harga RM100, RM170, RM270 dan RM370 menerusi www.myticket.asia mulai 10 Mac 2020.
Sumber: Gempak, Ig Dayang Nurfaizah
Leave a Reply Cancel reply