Sophia Liana yang merupakan juara Dansa Dan Sing mendedahkan dia lebih gemar menghabiskan masa di studio rakaman serta sibuk dengan kerjayanya belakang takbir dunia muzik. Dansa Dan Sing adalah sebuah rancangan realiti terbaharu anjuran Astro yang menampilkan elemen seni tari dan nyanyian berkonsepkan pertandingan.
Sophia Liana atau nama sebenarnya Sophiatul Liana Mohamed Sobri merupakan salah seorang penyanyi daripada ahli kumpulan trio di Malaysia, De Fam. Dua rakan DeFam yang lain iaitu Azira Shafinaz dan Cik Manggis telah menceburi bidang lakonan namun bagi Sophi, dia lebih selesa menumpukan sepenuh perhatiannya terhadap bidang muzik.
“Tawaran untuk berlakon itu ada tetapi keinginan saya lebih terarah kepada bidang muzik. Sudah menjadi minat saya untuk menempatkan nama dalam industri nyanyian.
“Sejak menjejakkan kaki dalam dunia hiburan, saya menanam impian untuk menjadi penyanyi rap serta komposer yang berjaya dan saya sedang berusaha ke arah itu,” jelas Sophia.
Terbaharu Sophia bakal melancarkan single untuk projek solonya.
“Saya mahu kekal fokus untuk mencapai apa yang saya inginkan dan saya banyak menghabiskan masa di studio. Saya akui banyak belajar dan saya tak mahu berputus asa.
“Bermula tahun lalu, saya sudah mula hasilkan lagu sendiri dan Insya-Allah, saya bakal tampil dengan projek solo dalam masa terdekat,” ujarnya lagi.
Sumber: Gempak / instagram Sophia Liana
Leave a Reply Cancel reply