Kenduri Kahwin, Tunang Dan Resepsi Tak Dibenarkan Sepanjang Tempoh PKPB

Penganjuran majlis perkahwinan, pertunangan dan resepsi di Kelantan adalah sama sekali tidak dibenarkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), demikian keputusan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK).

Menurut Timbalan Pengarah (Pengurusan) JAHEAIK Tengku Kamaruddin Tengku Alias, arahan itu berkuat kuasa mulai Ahad (22 November) hingga PKPB ditamatkan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Jumaat lalu berkata PKPB dilaksanakan di Kelantan selama dua minggu bermula 21 November susulan peningkatan k3s C0vid-19 di negeri berkenaan.

Bagaimanapun menurut Tengku Kamaruddin, majlis akad nikah masih dibenarkan dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan syarat-syarat ditetapkan.

“Antara syarat yang perlu dipatuhi adalah majlis akad nikah dilaksanakan di premis persendirian, masjid, surau atau seumpanya dengan boleh dihadiri oleh 20 orang tetamu sahaja termasuk seorang jurunikah, pengantin, wali dan saksi.

“Selain itu, kursus praperkahwinan turut ditangguhkan dan perkhidmatan khidmat nasihat atau rundingcara hanya dijalankan secara dalam talian,” katanya.

Tengku Kamaruddin berkata sebarang arahan atau keperluan adalah tertakluk kepada ketetapan yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). – BERNAMA

 

 

Sumber: Mstar

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*