Empat Tahun Menunggu, Shah Iskandar Sambut Kelahiran Cahaya Mata Pertama

Pelakon Shah Iskandar berkongsi berita gembira mengenai kehadiran cahaya mata pertama hasil perkahwinan bersama isterinya, Siti Sarah Mohd Noor.

Apa yang lebih mengujakan Shah adalah Allah akhirnya mengizinkan mereka memiliki cahaya mata setelah empat tahun sabar menanti.

Perkara itu dikongsi Shah menerusi akaun Facebook miliknya sebentar tadi. Shah dan isteri dikurniakan cahaya mata lelaki yang sudah siap diberi nama.

Menurut Shah, dia sangat bersyukur kerana proses bersalin isterinya itu berjalan dengan lancar.

“Assalamuakaikum semua, pada 10 Oktober 2020 jam 2.02 tengahari, isteri saya telah melahirkan cahaya mata pertama kami di Umra Hospital, Shah Alam.


“Alhamdulillah, proses bersalin isteri saya berjalan dengan mudah tambahan kakitangan hospital itu juga banyak membantu kami.

“Saya buat keputusan untuk tidak membuka media sosial selama tujuh hari selepas itu untuk menumpukan sepenuh perhatian terhadap isteri dan anak saya,” tulisnya.

Dalam pada itu, Shah turut mengucapkan terima kasih kepada isteri dan keluarga tercinta.

“Ucapan terima kasih kepada Sarah tidak akan pernah mencukupi kerana awak telah banyak berk0rban dan melahirkan bayi comel kita. Saya sayang awak.

“Untuk keluarga mertua saya, terutamanya Mak, Abah, saya sangat beruntung dikurniakan keluarga ini, kami hargai semua sokongan yang diberikan.

“Untuk keluarga saya di Singapura terutamanya Mama, Nani, Shaheen Nadia dan suaminya Azlan, Shafiq, terima kasih untuk semua hadiah bayi dan sokongan yang diberikan, saya janji akan bawa pulang Sarah dan bayi kami apabila sempadan negara dibuka,” tulisnya lagi.

Di penghujung kapsyen, Shah mendedahkan nama cahaya mata pertamanya itu dan mendedikasikan kata-kata manis.

“Akhir sekali, dengan berat 3.66 kilogram ketika dilahirkan, terima kasih Yusuf Zulkarnaen Shah Iskandar kerana melengkapkan kami.

“Awak umpama dunia buat kami, awak akan disayangi oleh semua, baik dalam keluarga mahupun rakan-rakan,” tulisnya lagi.

Shah atau nama sebenarnya, Shah Iskandar Mahfuz, 37 berkahwin dengan Siti Sarah, 34 pada 16 Januari 2016.

Sumber: Gempak, Ig@shahiskandarmahfuz

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*