TESCO Extra Mutiara Damansara di Petaling Jaya, Selangor melakukan kerja-kerja pembersihan mendalam dan pembasmian kuman pada Rabu malam, susulan seorang pelatih yang menjalani latihan praktikal di cawangan itu disahkan positif Covid-19.
Tesco Stores (Malaysia) Sdn Bhd dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknya dimaklumkan mengenai perkara itu oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Tesco sedang bekerjasama dengan KKM untuk memastikan kesihatan dan keselamatan rakan-rakan sekerja yang mungkin adalah kontak rapat kepada pelatih tersebut.
“Sementara itu. Tesco mengambil langkah proaktif untuk membasmi kuman dan membersihkan secara mendalam cawangan Tesco Extra Mutiara Damansara pada malam ini (Rabu) sebagai langkah berjaga-jaga,” menurut kenyataan itu di halaman Facebook, pada Rabu malam.
Menurut kenyataan itu, cawangan tersebut akan dibuka semula pada pukul 10 pagi Khamis (15 Oktober).
“Keselamatan rakan sekerja dan pelanggan tetap menjadi keutamaan kami, dan kami mempunyai langkah-langkah pencegahan untuk memastikan keselamatan semua orang.
“Ini termasuk pemeriksaan suhu badan di pintu masuk, pendaftaran pelanggan melalui aplikasi MySejahtera, panduan penjarakkan fizikal di lantai dan sanitasi kerap bagi kawasan tumpuan pelanggan seperti kaunter pembayaran, troli dan tandas,” tambahnya.
Sumber: Mstar
Leave a Reply Cancel reply