PU Syed Tekad Tinggalkan Profesion Tetap Sebagai Guru

Pencetus Ummah (PU) Syed Bakri mengumumkan dirinya bakal meninggalkan dunia perguruan selepas lebih sedekad berkhidmat bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Berita pengunduran dirinya daripada profesion seorang guru itu dikongsikan PU Syed menerusi satu entri yang dimuat naik di Instagram.

“Notis sebulan untuk melepaskan jawatan PPPS (Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah) DG 44 telah siap dicetak dan akan diserahkan pada Jumaat ini dengan izin Allah.

“Bukan saya tak sayang jawatan ini, namun bila memikirkan ada benda yang perlu dibuat untuk ummah, diri dan keluarga, saya kuatkan semangat untuk berhenti daripada jawatan ini,” katanya.

Katanya, dia membuat keputusan tersebut selepas mempertimbangkan segala aspek termasuk fokus baharunya dalam dunia perniagaan.

“Saya dah bertekad untuk meninggalkan KPM setelah lebih 12 tahun mencurah bakti sebagai seorang guru demi memberi sepenuh tumpuan kepada perniagaan, penulisan buku-buku, menyambung pelajaran dan menjaga Maahad Tahfiz Vokasional Baitul Dhiya,” tulisnya.

Pu Syed kini berkhidmat sebagai guru bahasa Arab di Sekolah Kebangsaan Dato’ Ahmad Said Tambahan (SK DAST), Ipoh, Perak dan bakal menamatkan perkhidmatannya pada 30 November depan.

Katanya, terlalu banyak kenangan sepanjang bergelar guru yang tidak akan dilupakan.

“Seingat saya tak kurang ribuan murid yang pernah saya ajar dan didik di SK DAST. semoga dapatlah sedikit pahala daripada mereka sewaktu mereka membaca al-Quran dan menggunakan ilmu, nasihat dan peringatan yang pernah saya titipkan buat mereka.

“Kenangan manis pada tahun 2009, berjaya melatih dan membawa SK DAST sebagai Naib Johan Negeri bagi pertandingan Kalam Jamaie dan pada tahun itu juga saya turut menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang,” kongsinya yang merupakan bekas juara program realiti Pencetus Ummah anjuran Astro Oasis pada 2015.

Sumber: Gempak, Ig @syedbakri_alyahyaofficia

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*