Tasha Manshahar Bersara Menyanyi

Minat penyanyi, Tasha Manshahar terhadap dunia nyanyian perlahan-lahan pud4r selepas empat tahun bergelar warga pendidik.

Bagi penyanyi yang bakatnya dikesan menerusi laman YouTube itu, sudah cukup tempoh lima tahun untuknya menimba pengalaman dalam dunia seni.


Bukan memandang rendah kerjaya nyanyian, sebaliknya Tasha atau nama sebenarnya, Nur Nadia Natasha Mohd Manshahar merasakan bidang nyanyian bukan menjadi fokus utamanya selepas menggalas tanggungjawab sebagai guru bahasa Inggeris di sebuah sekolah di Melaka, selain statusnya sebagai isteri dan ibu.

“Saya tak mungkin kembali menyanyi dalam situasi sekarang. Memang tiada perancangan untuk saya menyanyi semula. Saya mahu melakukan perkara yang bersesuaian dengan personaliti sebagai guru dan isteri iaitu pengacara.

“Faktor sekeliling dan mentaliti juga menyebabkan minat terhadap bidang nyanyian semakin berkurangan. Adalah lebih baik jika peluang ini diberikan kepada penyanyi lain. Ramai bakat baru yang boleh memberikan lebih perhatian daripada saya.

“Cukuplah tempoh lima tahun saya bergelar penyanyi. Berilah saya peluang untuk melakukan perkara lain,” katanya kepada BH Online.


Popular dengan single Selamat Ulang Tahun Cinta, Cuba Teka dan Ragu-Ragu bersama rakan duetnya, Syed Shamim, Tasha berkata, masih ada pihak yang cuba memujuknya untuk menarik balik keputusan mahu bersara.

“Tak dinafikan, memang ada yang memujuk saya supaya mempertimbangkan keputusan dan mengharapkan saya kembali menyanyi. Dalam hal ini, saya amat berpegang kepada prinsip.

“Jika sudah memutuskan untuk bersara, saya tidak akan berganjak dengan keputusan.

“Sebelum ini, saya mendapat tawaran daripada Kementerian Pendidikan yang mahukan saya aktif dalam bidang nyanyian yang ada kaitan dengan mereka. Itupun saya terpaksa tolak. Alhamdulillah, mereka menerima alasan saya dan tidak lagi bertanyakan hal berkenaan hingga sekarang,” kata wanita berusia 28 tahun ini.

Meskipun bulat tekadnya untuk tidak mahu kembali menyanyi, namun Tasha bukanlah seorang yang ekstrim hingga tidak mahu langsung dikaitkan dengan bidang yang pernah mempopularkan namanya suatu ketika dulu.


“Saya tak boleh mar4h jika ada ibu bapa anak murid bertanyakan soal nyanyian kerana itu adalah sejarah saya. Pada awal bergelar guru, ada anak murid yang memanggil saya Tasha Manshahar. Cuma, saya akui, situasi ini menimbulkan rasa tidak selesa dalam diri.

“Justeru, saya lebih senang anak murid atau rakan sekerja memanggil saya dengan panggilan Cikgu Nadia di sekolah. Secara tidak langsung imej ia membezakan keadaan terkini dengan zaman bergelar artis.

“Bagaimanapun, ada kala, saya ada juga menggunakan kelebihan sebagai alat bantuan mengajar. Saya akan menyanyi dalam kelas sama ada secara solo ataupun bersama anak murid sebagai ganjaran buat mereka jika ada kejayaan yang dicapai ketika sesi pembelajaran,” ujarnya.

 

Sumber : BH Online

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*