“Naik Motor, Jual Barang, Jadi Tukang Cuci” – Chef Wan

Cef selebriti terkenal, Datuk Redzuawan Ismail atau lebih dikenali sebagai Chef Wan mendedahkan bahawa dia banyak menghabiskan zaman mudanya dengan melakukan pelbagai kerja pada satu masa.

Disebabkan itu jugalah, sebelum bergelar seorang cef lagi, kata Chef Wan, dia pernah meraih pendapatan sehingga mencecah RM30,000 sebulan.


“Sewaktu saya kerja di bank, orang lain balik kerja pukul 4 petang dah balik rumah membuta.

“Saya pula sambung kerja, naik motosikal jual macam-macam barang, tupperware, alat soleklah. Masa itu umur saya baru 23 tahun.

“Buat jual-jual tu semua dapatlah saya sampai RM30,000 sebulan,” katanya kepada Astro Gempak.

Bahkan, menurut Chef Wan, berkat usaha kerja kerasnya melakukan itu jugalah, dia berjaya membeli rumahnya pada usia cukup muda.

Katanya lagi, walaupun dia terpaksa berk0rban masa mudanya dengan melakukan banyak kerja, namun, itu semua dilakukan demi rasa tanggungjawabnya terhadap keluarga.

“Saya melakukan pelbagai kerja. Saya pernah pergi rumah orang cuci, kerja di pasar raya, jadi tukang kebun. Saya dulu memang ‘struggle’ perlu melakukan banyak kerja.

“Balik rumah, jaga adik, masak, buat kuih, jual kuih. Balik, siap beri (duit) pada mak. Budak-budak lain, balik rumah sambung main bola. Pada masa sama, saya boleh jadi pelajar terbaik lagi,” katanya yang mengimbau zaman mudanya.

Justeru, menurut Chef Wan, tiada alasan untuk seseorang untuk mengubah nasib hidup.

Katanya, semua itu boleh diperoleh dengan semangat dan usaha yang ada pada diri masing-masing sahaja.

“Bila tak ada duit, pergilah kerja. Cuma orang sekarang selalu mengeluh. Kalau tak berusaha, susahlah.

“Apabila sudah dapat rezeki, bantu orang sekeliling, agar rezeki itu berpanjangan.

“Saya tak adalah kaya raya sepanjang masa. Tapi itulah peng0rbanan. Bila kita hidup suka berk0rban, saya percaya ada sebab Allah murahkan rezeki untuk tolong keluarga sendiri, bersedekah,” nasihatnya.

Chef Wan ditemui di kediamannya di Cyberjaya, Selangor ketika penggambaran program Next To Neelofa baru-baru ini.

Bagi mengetahui lebih banyak kisah menarik Chef Wan, jangan lupa saksikan Next To Neelofa yang akan menemui penonton esok (3 September)  di saluran Astro Ria, pada pukul 9 malam.


Sumber: Gempak, Ig @_chefwan58

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*