Youtuber sensasi, S. Pavithra diangkat menjadi Ikon Anak Bandaraya Ipoh Tahun 2020, pengiktirafan yang diberikan secara eksklusif kepada individu kelahiran bandaraya tersebut di atas kejayaan mereka.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata kejayaan Pavithra, 28, yang dilahirkan di Buntong, harus menjadi teladan kepada orang lain.
“Dia antara 10 individu yang termasuk dalam senarai kami untuk merangkul gelaran.
“Sambutan Hari Bandaraya Ipoh tidak dapat diadakan pada tahun ini disebabkan penularan Covid-19 serta Perintah Kawalan Pergerakan.
“Oleh itu, ia akan diberikan kepada mereka secara rasmi tahun depan pada 7 Mei,” katanya pada Isnin.
Rumaizi menambah bahawa Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sedang mengkaji individu lain yang juga layak mendapat gelaran tersebut.
“Kami merancang untuk memberikan penghargaan kepada sekurang-kurangnya 100 anak jati Ipoh yang berjaya menerusi perbagai bidang antaranya usahawan, seni dan pendidikan yang telah mengharumkan daerah ini,”katanya.
Pavithra dan suaminya M. Sugu mula mendapat perhatian netizen menerusi saluran YouTube mereka, Sugu Pavithra yang berkongsi pelbagai menu masyarakat India namun menggunakan bahasa Malaysia menambat hati penonton pelbagai kaum.
Sehingga kini, saluran YouTube pasangan itu sudah pun mempunyai 779,000 pengikut.
Sementara itu Pavithra mengucapkan terima kasih kepada MBI dan melahirkan rasa terharu dengan pengiktirafan tersebut.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka yang telah menyokong kami. Saya merasa bangga dan terharu untuk menerima gelaran seperti itu,”katanya. –THE STAR
Sumber: Mstar
Leave a Reply Cancel reply