Kekal Berdepan Cabaran, Mila Jirin Kongsi Rezeki Bersama Pekerja

PENYANYI dan usahawan berjiwa besar Mila Jirin, mengakui menimba banyak pengalaman yang tidak terduga sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat  penul4ran pandemik c0v1d-19 sejak Mac lalu.

Sedaya upaya mempertahankan perniagaan berkaitan industri perkhidmatan majlis perkahwinan miliknya, Bizmilla Wedding Centre, Mila menarik nafas apabila kerajaan kini memberi kebenaran penganjuran majlis bermula 1 Julai lalu.

“Alhamdulillah saya bersyukur apabila kami para pengusaha industri majlis perkahwinan dapat kebenaran untuk kembali beroperasi seperti biasa setelah beberapa bulan tiada pendapatan.

“Apa yang membuatkan saya terharu, pada hari yang sama kerajaan membuat pengumuman penganjuran majlis dibenarkan, kami terus dihujani dengan panggilan telefon daripada pelanggan yang ingin mendapatkan khidmat kami.

“Insya-ALLAH saya dan pasukan telah merangka strategi bersesuaian dengan normal baharu dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan untuk memastikan semua perancangan berjalan lancar,” ujarnya kepada Sinarplus.

Menganggap apa yang berlaku itu sebagai satu hikmah, pemilik nama sebenar Norsyarmilla Jirin, 33, bersyukur apabila kini dapat terus membela nasib para pekerjanya selepas hampir empat bulan tidak beroperasi.

“Ketika saya menyuarakan dan meminta pertimbangan daripada kerajaan agar membenarkan penganjuran majlis perkahwinan sebagaimana industri lain, ramai yang kec4m kata saya mementingkan diri demi perniagaan sendiri.

“Hakikatnya saya cuba membela nasib hampir 100 pekerja saya yang tiada pendapatan lain untuk menyara keluarga mereka.

“Sebagai majikan saya cuba mempertahankan mereka dengan mencari pelbagai inisiatif lain untuk memastikan mereka mendapat gaji.

“Dari situlah wujudnya cabang perniagaan baharu menjual kek dan durian yang saya lakukan sepanjang tempoh syarikat tidak dapat beroperasi, alhamdulillah ia sedikit sebanyak dapat membantu para pekerja saya,” jelas Mila menganggap pekerjanya sebagai amanah yang perlu dijaga.

Berehat dari dunia seni

Ditanya apakah yang membuatkan dia tidak berputus asa dan cekal berdepan berdepan cabaran, kata Mila, dia sentiasa percaya kepada hikmah yang datang bersama ujian yang dilalui.

Tidak hanya itu, suaminya, Ahmad Ailis Mohamed Mustapha yang banyak memberikan kata semangat, mendorongnya untuk terus kuat.

“Jujurnya pada minggu-minggu awal pelaksanaan PKP, saya agak tertekan kerana fikirkan pelbagai perkara dan tak tahu nak buat apa apabila syarikat tak dapat beroperasi.

“Bagaimanapun mujurlah suami dan keluarga sentiasa ada memberikan semangat dan motivasi yang akhirnya menyedarkan saya untuk bangkit berdepan dengan ujian itu.

“Bermula dari situ saya duduk bersama para pekerja dan kami sama-sama mencari idea untuk untuk menyelesaikan segala masalah yang ada.

“Alhamdulillah tidak ada pekerja saya terpaksa diberhentikan atau dewan perkahwinan milik syarikat saya ditutup, malah kami kini makin bersatu hati,” jelas bekas juara Akademi Fantasia musim kelima itu lagi.

Bercerita tentang kerjaya seninya yang kini dilihat seakan jauh daripada radar, kata Mila yang juga ibu kepada seorang anak lelaki, Mohd Arif Zikri, 3, kerjaya seni bukan lagi menjadi keutamaannya buat ketika ini.

“Sebenarnya suami tidak memberi keizinan untuk saya terus aktif dalam bidang seni kerana banyak perkara lain yang memerlvk4n perhatian saya termasuk keluarga dan perniagaan.

“Kali terakhir saya rakam lagu baru menerusi single Adam dan Hawa, lebih kurang dua tahun lepas.

“Sesekali memang ada rindu untuk kembali beraksi, tetapi buat masa sekarang inilah yang terbaik buat saya. Pada masa akan datang tidak tahulah bagaimana.

“Biarpun tidak lagi aktif di pentas seperti dulu, saya masih bertemu orang ramai menerusi pelbagai aktiviti ceramah dan perkongsian pengalaman saya dalam bidang seni dan keusahawanan,” akhiri Mila.

 

 

Sumber : Sinar via Soya Lemon

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*