Biarpun sekolah terpaksa ditutup disebabkan pelaksanaan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun itu tidak menghalang guru-guru untuk membuat sesuatu kepada anak murid-muridnya.
Ini kerana, proses pembelajaran tetap perlu diteruskan dengan menggunakan medium pengajaran secara dalam talian bersama anak murid.
Barangkali rata-rata guru hanya menggunakan peralatan ringkas sahaja iaitu sebuah komputer riba dan sambungan internet.
Begitupun, berbeza pula dengan kisah seorang guru, Siti Faridah Matt, 34, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Derma, Kangar, Perlis ini.
Guru Kimia ini mencvri tumpuan ramai apabila mengajar anak murid seperti berada di dalam sebuah studio.
“Semuanya bermula sewaktu PKP apabila kami guru-guru perlu mengajar secara dalam talian. Suami saya pula memang mempunyai asas dalam dunia fotografi, jadi, dialah yang bantu saya set up peralatan di rumah.
“Saya punya lighting tu biasa-biasa je. Saya minta tolong suami carikan untuk saya gunakan ketika mengajar. Saya beli lighting tu dalam RM300 lebih.
“Bila guna lighting (sistem pencahayaan), kualiti gambar dan video itu akan lebih cantik dan jelas. Bahkan, visual kita juga akan nampak lebih 3D sewaktu berdepan dengan anak murid,” katanya ketika dihubungi Astro Gempak.
Menurut Siti Faridah, segala aspek teknikal itu kemudian dipelajarinya bersama suami, Mohd. Hafizuddin Ahmad Dahalan yang juga merupakan salah seorang kakitangan di Jabatan Pendidikan Negeri.
Usahanya itu kemudian cuba digunakan di sekolah tempatnya mengajar sebaik sesi persekolahan mula dibuka kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) minggu ini.
Bila Cikgu Live Di Sekolah. Sanggup bawa lighting sendiri p sekolah. hahahaha. Bukan stakat selfie, live pun on point.
pic.twitter.com/grHkAkN0D6 — cikgu Siti Faridah (@SitiShare) June 23, 2020
“Walaupun guru sudah mula mengajar di sekolah selepas sesi persekolahan dibuka untuk pelajar tingkatan 5, namun, kami masih lagi perlu mengajar secara dalam talian bagi anak murid lain.
“Jadi, saya bawa peralatan tersebut ke sekolah untuk digunakan bersama guru-guru lain. Memandangkan ada kelas kosong yang tidak digunakan, kami jadikan seperti sebuah studio untuk guru mengajar secara online,” ceritanya yang sudah sedekad dalam dunia perguruan.
Biarpun terpaksa menggunakan modal sendiri untuk menjadikan proses pembelajaran yang lebih efektif, kata Siti Faridah dia berharap usahanyanya itu dapat dimanfaatkan semua pihak.
Walaupun esok form 5 dan form 6 dah mula sekolah, Tapi form 1 hingga form 4 pun akan mula bergoogle meet dgn cikgu2 SMK Derma.
Kami sediakan mini studio utk cikgu di sekolah mengajar kelas online esok. #DermaREMOTETEACHING pic.twitter.com/LiO0chfIhx
— cikgu Siti Faridah (@SitiShare) June 23, 2020
“Saya juga harap mungkin lepas ini ada pihak luar atau Persatuan Ibu Bapa & Guru (PIBG) yang menyumbang untuk pihak sekolah membeli peralatan tambahan sebegini untuk proses pembelajaran,” katanya yang turut mempunyai saluran Youtube Cikgu Siti Share yang berkongsi modul pembelajaran kepada para pelajar.
Kredit foto: Instagram @faridahmatt; Twitter @SitiShare
Sumber: Gempak
Leave a Reply Cancel reply