Aiman Tino Jual Air Mangga Cari Duit

Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, ramai yang terkesan termasuklah anak seni yang terlibat dalam bidang nyanyian.

Namun begitu, bagi penyanyi Aiman Tino, dia tidak mahu membuang masa begitu sahaja. Oleh hal yang demikian, Aiman memilih untuk menerokai pelbagai jenis perniagaan bagi menambah sumber pendapatan termasuklah menjalankan perniagaan air minuman berperisa buah mangga, Aimango.


“Seperti yang kita tahu, dalam tempoh PKP sehinggalah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini semua acara hiburan dan persembahan ditangguhkan buat sementara waktu.

“Jadi buat masa ini memang saya tak ada persembahan… kalau ada pun hanya hadiri jemputan program televisyen dan sebagainya sahaja.


“Dah alang-alang tak ada buat apa-apa di rumah, saya pun cubalah pelbagai perniagaan dan terbaharu air minuman berperisa buah mangga… bolehlah untuk tambah-tambah sumber pendapatan!,” katanya kepada mStar.

Jelas Aiman lagi, perniagaan air minuman itu mula diperkenalkan pada Isnin lalu dan menerima sambutan hebat pelanggan.

Malah, Aiman tidak malu mengakui minuman itu disediakan sendiri olehnya dan dia juga bertindak sebagai ‘runner’ yang akan menghantar minuman yang ditempah pembeli di sekitar Lembah Klang.

“Air ini memang saya sendiri yang buat dan saya juga yang akan hantar kepada pembeli. Memandangkan sejak kecil saya memang minat berniaga, jadi tiada rasa malu untuk turun padang jumpa pelanggan.

A post shared by Therealaimantino (@official_aimantino) on

“Alhamdulillah, sambutan sangat baik… dalam masa seminggu memulakan perniagaan ini, lebih 500 botol sudah terjual.

“InsyaAllah, apabila keadaan semua sudah kembali pulih dan dibenarkan bekerja, perniagaan ini akan tetap diteruskan. Kami rancang nak tambah lagi perisa lain dan menambah ejen jualan di setiap kawasan,” ujarnya.

Bercakap mengenai karier nyanyian, Aiman memberitahu dia bakal muncul dengan single baharu tidak lama lagi.

 

 

Sumber: Mstar, Instagram @official_aimantino

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*