KUALA LUMPUR: Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu tidak memberi halangan untuk penyanyi, Najwa Latif berkarya dan menghasilkan single.
Akan tampil dengan single terbaharu minggu hadapan, Najwa, 25, berkata lagu diberi judul Tidak Kisah Pun itu adalah hasil usaha bersamanya adik-beradik dan penyanyi rap, Akwa Arifin.
“Pada awalnya, saya merancang mengeluarkan single baharu pada Januari lalu, tetapi disebabkan PKP, rancangan terpaksa ditunda. Tanpa dirancang, sekitar Mac lalu, saya mendapat idea menghasilkan lagu Tak Kisah Pun.
“Perjalanan dan pembikinan lagu ini sangat santai, semuanya dihasilkan dalam tempoh PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini. Sebenarnya, versi akustik lagu ini sudah muat naik di YouTube. Disebabkan ramai yang suka, kami setuju untuk merakamkannya.
“Dapat pula persetujuan berduet dengan Akwa, ia seperti semuanya dipermudahkan walaupun pergerakan terhad. Alhamdulillah, ia akan keluar sekitar minggu hadapan dan muzik video rasmi akan menyusul dalam minggu yang sama,” katanya kepada BH Online.
Lagu Tak Kisah Pun dihasilkan oleh Najwa dan adik beradik yang menggelarkan diri mereka sebagai Ellgee, manakala liriknya dihasilkan dengan kerjasama Akwa.
Ia dikatakan berkisar mengenai menerima seseorang itu seadanya. Kali terakhir Najwa mengeluarkan single adalah sekitar Ogos tahun lalu iaitu Kau Lupa Itu Aku.
Selain itu, penyanyi yang mula popular dengan lagu Cinta Muka Buku itu, dia sibuk dengan kerjayanya sebagai pensyarah subjek Bahasa Inggeris di UNITAR International University.
“Kesibukan mengajar antara faktor saya mengambil masa untuk menghasilkan single. Tetapi, selepas tidak lagi bernaung di bawah NAR Records sejak bulan ini, saya lebih fleksibel dalam mengeluarkan lagu.
“Alhamdulillah, buat masa ini saya selesa mengurus akan kerjaya saya sendiri bersama adik beradik. Saya seronok dengan kerjaya saya sebagai pensyarah.
“Kini sudah lebih dua tahun saya mengajar. Jujurnya, saya gembira dengan apa yang saya usahakan sekarang ini,” katanya yang turut mengusahakan perniagaan tudung, Najwal.
Sumber : BH Online
Leave a Reply Cancel reply