“Kami Adik-Beradik, Berlainan Ibu!” – 7 Rakan Serumah Sambut Aidilfitri Meriah Tanpa Keluarga

Tahun ini mungkin Syafiq Aziz terpaksa berhari raya tanpa keluarga namun dia bersama rakan-rakan serumahnya tetapi meraikan Aidilfitri dengan gembira.

Malah sebelum kedatangan Syawal, mereka semua sepakat membersihkan rumah dan memasang langsir baharu bagi mewujudkan suasana ceria pada hari raya.

Malah Syafiq turut meminta rakan serumahnya, Muhammad Yusril Harith Mohd K0ma untuk memotong rambutnya memandangkan kedai gunting rambut masih ditutup dibawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika ini.

“Dia memang pandai potong rambut,” kata Syafiq sambil membetulkan rambut rayanya.

Meskipun mereka semua sudah tinggal sebumbung hampir separuh dekad, ini adalah kali pertama kesemua mereka menyambut Aidilfitri di rumah sewa yang terletak di Seksyen 17, Petaling Jaya.

Seperti Syafiq dan enam rakannya, rakyat Malaysia yang lain juga tidak dapat balik ke kampung dan merentas negeri sebagai langkah pencegahan penularan wa bak Covid-19.

Pun begitu, Syafiq memberitahu dia mengambil peluang ini untuk memanfaatkan suasana itu sebaik-baiknya malah turut menjemput beberapa bekas rakan serumah untuk menyambut hari raya bersama mereka.

“Raya tetap raya! Walaupun tak dapat balik kampung, kami adalah adik-beradik – berlainan ibu! Ramadan pun kami sediakan menu berbuka bersama-sama, mencuba resepi baru setiap hari.

“Sebelum raya pun kami buat gotong-royong agar rumah dalam keadaan cantik dan kemas untuk beraya,” kata Azriezul Roslan, 25, yang juga seorang eksekutif pengurusan data yang berasal dari Sabah.

Malah, Muhammad Arif Aziz, 29, memberitahu pada 1 Syawal lalu mereka menyediakan nasi dagang resepi ibunya untuk santapan mereka semua.

Antara aktiviti 1 Syawal mereka adalah bermain permainan video.

“Sebelum ini kami sudah cuba buat dulu nasi dagang dan hasilnya menjadi. Walaupun semua bahan-bahanya mudah didapati di sini tetapi ibu saya hantar beras dagang dari Kelantan,” katanya yang juga seorang jurutera biomedical.

Tidak ketinggalan, masing-masing turut bergaya dengan baju Melayu baharu pada 1 Syawal yang dibeli dalam talian.

“Pada saya, bukan raya kalau tidak pakai baju baru, jadi saya cuba cari sesuatu yang bertepatan dengan bajet saya,” kata Najhan Nabil, 23, anggota rumah itu yang paling muda dan masih menuntut di Universiti Tun Razak.

Beritahu Najhan, dia memang se dih tidak dapat pulang ke Kelantan dan tidak pernah terlintas di fikirannya untuk menyambut Aidilfitri di perantauan namun bersyukur mempunyai rakan serumah yang cukup baik.

“Kami rancang pelbagai perkara sepanjang Ramadan bagi memastikan kami tidak bersedih di pagi raya,” ujarnya.

Pengalaman beraya di rumah bujang akan dikenang sampai bila-bila.

Lebih manis, mereka bukan sahaja dapat melakukan solat tarawih bersama-sama malah solat sunat Aidilfitri di rumah.

“Kami ambil giliran untuk jadi imam setiap malam ketika tarawih dan ia pengalaman cukup berharga,” kata Muhammad Arif.

Kecanggihan teknologi tidak membuatkan mereka lupa untuk menghubungi keluarga di kampung secara panggilan video bagi memohon maaf dan mengucapkan selamat hari raya.

Dengan cara itu kata Yusril, mereka dapat berasa dekat dengan keluarga meskipun hanya sekadar panggilan video.

Bersetuju ini adalah raya paling berbeza buat mereka semua tetapi ia juga istimewa dan kenangan yang akan diingati sampai bila-bila.

“Mereka semua sudah seperti keluarga kepada saya dan pastinya kami akan kenang saat ini sampai bila-bila. Saya beruntung dapat rakan serumah yang mengambil berat dan baik hati,” kata Yusril.

 

 

 

Sumber: Mstar

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*