Suami Kerja Gaji Seribu Saja, Sekali Dapat Bayaran Pertama Dari Youtube Buat Pavithra Terkedu

”Saya hanya ingin membantu suami yang hanya bekerja di ladang, dia memperoleh pendapatan RM1,000 sebulan.

” Jika ditolak komitmen bulanan kami hanya mempunyai kurang RM800 untuk perbelanjaan, sebab itu saya nekad membantunya.”

Demikian luahan S Pavithra, YouTuber suami isteri yang menggunakan nama ‘Sugu Pavithra’ yang mula mendapat perhatian selepas memuat naik video memasak pelbagai menu dalam bahasa Melayu.

Pavithra juga tidak menjangka niat mahu membantu suami akhirnya memberi pendapatan yang jauh lebih tinggi dari yang disangka.

Terkejut dengan jumlah bayaran diterima dari Youtube

Beliau turut mendedahkan pendapatan pertama diterima dari Youtube di mana jumlahnya agak lumayan bagi mereka yang baru bermula.

” Apa yang kami peroleh sekarang lebih dari cukup, buat pertama kali saya terima bayaran sebanyak AS$2,000 (RM8,700) bulan lalu, saya tak pernah sangka dapat sebanyak itu,” katanya.

Menurutnya, banyak cara untuk membaiki taraf kehidupan dan ia bergantung kepada keinginan dan kerja keras.

Untuk Aidilfitri ini, Pavithra yang amat fasih berbahasa Melayu berkata, dia merancang untuk memasak dan mengagihkannya kepada komuniti di kuarters ladang berkenaan.

” Perdana Menteri juga mengingatkan saya supaya memasak dan berkongsi dengan jiran. Saya akan menggunakan semua bahan yang diberikan beliau untuk memasak hidangan ringkas dan menyumbang kembali kepada jiran ketika Aidilfitri.

Pavithra berkata, dia juga akan belajar membuat kek, pastri serta pencuci mulut menggunakan ketuhar gelombang mikro yang dihadiahkan Muhyiddin.

” Saya biasanya memasak makanan tradisional, tetapi kali ini saya cabar diri untuk belajar masakan baru, saya pernah membuat kek sebelum ini tetapi tidak menjadi menyebabkan saya putus asa,” katanya.

Video Pavithra telah berjaya menambat hati rakyat Malaysia daripada pelbagai peringkat umur dan kaum.

Malah, ia turut menarik perhatian Perdana Menteri yang menghadiahkan tripod, ketuhar gelombang mikro, periuk nasi elektrik serta barangan memasak kepada mereka.

Ibu kepada dua anak ini berkata, dia mula terbabit sebagai Youtuber pada 28 Januari lalu, sejak itu dia memuat naik demonstrasi masakan dan sehingga kini sudah mempunyai 473,000 peminat.

Ajak PM datang ke rumah

Dalam pada itu Pavithra dan suami M Sugu, 29 berhasrat menjemput Tan Sri Muhyiddin Yassin datang ke rumah.

Menurut Pavithra beliau akan mencari jalan untuk menghantar jemputan kepada PM dan berharap impian mereka menjadi kenyataan.

” Perkara pertama yang ingin dilakukan selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tamat adalah menjemput Perdana Menteri ke rumah untuk merasai masakan kami,” kata S Pavithra, 28.

” Saya tahu agak mustahil Perdana Menteri akan datang kerana saya hanya orang biasa, tetapi saya berhasrat memasak Nasi Briyani Kambing dan Ayam Masak Merah untuk beliau.

” Isnin lalu, saya sudah menerima hadiah daripada beliau, hanya ini saya boleh lakukan (menjemput Perdana Menteri ke rumah) dan saya harap kami dapat bertemu satu hari nanti apabila Malaysia bebas dari COVlD-19,” katanya ketika ditemui di rumahnya di kuarters ladang swasta di Sungai Siput.

 

 

 

Sumber : http://limauais.pw/ via Oh MyMedia

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*