Pada bulan Ramadan, sudah pasti, ia satu cabaran buat ibu bapa yang ingin mendidik anak-anak kecil mereka untuk melaksanakan ibadah puasa.
Lebih-lebih lagi, apabila perlu mengejutkan anak-anak di awal pagi bagi bersahur.
Sungguhpun begitu, bagi pelakon Faralyna Idris, dia mempunyai cara tersendiri untuk mengejutkan anak sulungnya untuk bangun bersahur bersama-samanya.
Katanya, antara yang boleh dilakukan ialah dengan ‘mengumpan’ anaknya dengan makanan kegemarannya.
“Selain daripada kita sentiasa ingatkan dia kebaikan bangun sahur tu, bonda ‘pancing’ dia dengan benda yang dia suka.
“Kakak suka cekodok, Jadi, sebelum tidur tu bonda dah beritahu dia yang dia akan dapat makan cekodok kalau bangun sahur. Kalau bangun dah siang hari, bak kata kakak ‘no cekodok’. Dia kena tunggu sampai malam untuk makan cekodok,” katanya menerusi satu entri yang dimuat naik di Instagram.
Ceritanya lagi, walaupun anaknya akan tetap mamai apabila berada di meja makan, namun dia akan terus berborak untuk memastikan dia terus berjaga.
Katanya, dia akan mengajak anaknya berborak dengan perkara yang menarik perhatiannya.
“Memang awal-awal tu tersengguk-sengguk juga makan. Tapi, lepas tu kita tanya dia banyak soalan. Walaupun dia tak jawab, orang tengah makan mak aku ni tanya itu ini pula kan, tapi dia akan respons.
“Paling buat dia segar bila kita borak pasal ayah. Ha terus terbeliak mata. Tapi pastuuuuuuu, dia tak tidur dah sampailah waktu berbuka nanti. Ah sudah…,” kongsinya.
Faralyna mendirikan rumah tangga dengan Muhammad Fikri Abdullah Fikri pada Disember 2014.
Hasil perkongsian hidup, pasangan itu dikurniakan dua orang cahaya mata, Fira Anggun, 5, dan Fira Ayu, 2.
Sumber: Gempak, Ig @faralynaidris
Leave a Reply Cancel reply