Kemasukan Pekerja Malaysia Dari Singapura Meningkat

JOHOR BAHRU: Trend kemasukan rakyat Malaysia dari Singapura semakin meningkat sejak 22 April lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Johor, R Vidyananthan yang memaklumkan perkara itu berkata sebelum ini bilangan rakyat Malaysia yang balik melalui pintu masuk darat iaitu Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) adalah pada kadar purata 300 orang sehari.

Katanya walau bagaimanapun, bilangan ini telah meningkat melebihi 800 orang sehari.

“Bilangan yang ramai pada satu masa yang sama ini telah menjadikan waktu menunggu yang lebih lama untuk agensi terlibat melakukan saringan dan penempatan di pusat kuarantin.

“Semalam, negeri Johor telah mula menggunakan pusat kuarantin di luar daerah Johor Bahru dan Kulai, iaitu di daerah Kota Tinggi dan Batu Pahat bagi menempatkan mereka yang pulang dari Singapura,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelas Vidyananthan, pihaknya menasihatkan rakyat Malaysia di Singapura supaya merancang waktu untuk balik ke Malaysia supaya dapat mengelakkan menunggu lebih lama daripada biasa.

Katanya individu yang berhajat untuk melakukan perjalanan masuk ke negara ini agar melakukan persiapan awal sewajarnya.

“Laporan harian stesen kuarantin yang diterima menerusi Pusat Kawalan Bencana (PKOB) negeri mendapati, sehingga pukul 10 malam semalam, seramai 5,816 individu telah ditempatkan 46 stesen kuarantin yang telah diaktifkan di negeri ini.

“Jumlah terbabit melibatkan 5,732 orang awam temasuk warga Malaysia yang bekerja di Singapura, 65 pelajar yang pulang ke Malaysia dan 19 ahli tabligh.

“Daripada jumlah keseluruhan terbabit, seramai 5,788 individu dikategorikan sebagai Individu Dalam Pemerhatian (PUS) manakala 28 yang lain dikategorikan sebagai Individu Dalam Siasatan (PUI),” katanya lagi.

 

Sumber : Astro Awani

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*