Bila dengar sahaja selebriti mendirikan rumah tangga, pasti akan ada sahaja cerita mengenai sahamnya bakal merudum selepas mereka berkahwin. Ia bagaikan sudah menjadi lumrah dalam hiburan di Malaysia, populariti seseorang selebriti itu dikatakan bakal merundum selepas mereka bergelar isteri atau suami.
Namun bagi pelakon Zahirah MacWilson yang baru sahaja bergelar isteri kepada pelakon Aiman Hakim Ridza dengan sekali lafaz pada 20 Februari lalu sedikit pun tidak risau dengan tanggapan tersebut kerana yakin bakat adalan penentu kepada kerjaya seseorang artis sepertinya.
Zahirah atau nama sebenarnya Nur Zahirah MacWilson Zainol,25, percaya semuanya bergantung kepada rezeki masing-masing.
“Sebenarnya saya tak kisah pun dengan pandangan orang yang mengatakan apabila seorang selebriti itu sudah kahwin, ‘saham’ akan jatuh.
“Bagi saya, kita tak boleh halang apa orang nak kata sebab macam mana pun mereka tetap akan bercakap juga.
“Tapi at the end of the day, semuanya berbalik kepada rezeki masing-masing. Sebab itu saya percaya kepada rezeki,” kata Zahirah kepada mStar.
Dalam pada itu, Zahirah turut meluahkan rasa syukur dan teruja kerana buat pertama kali diberi peluang beraksi memegang watak utama dalam sebuah filem aksi, Bulan & Pria Terhebat.
“Saya sangat bersyukur dan terharu sebab sebelum saya ceburi bidang lakonan, saya memang simpan impian nak berlakon dalam filem aksi.
“Alhamdulillah, impian terbesar dalam hidup saya akhirnya sudah tercapai. Walaupun pada mulanya, saya ditawarkan untuk bawa watak sampingan dan saya okey saja.
“Tapi tiba-tiba dapat tawaran untuk watak utama. Memang saya terus setuju dan sanggup jalani latihan fizikal untuk dapatkan bentuk badan yang bersesuai selama dua bulan.
“Saya juga belajar bahasa Indonesia kerana watak Bulan bercakap menggunakan bahasa itu,” jelasnya.
Filem aksi tersebut merupakan arahan pengarah Ghaz Abu Bakar itu akan mula ditayangkan bermula 12 Mac ini.
Sumber: mstar, Instagram Zahirah MacWilson
Leave a Reply Cancel reply